Sabtu, 5 Mac 2011

Konsep Zuhud Dalam Islam



Dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w membuat perbandingan antara dunia dan akhirat. Perbandingan antara kedua-duanya bagaikan seseorang yang mencelupkan jari-jarinya ke dalam lautan, maka (dunia bagaikan air) yang melekat pada jari-jarinya itu. Namun demikian baginda s.a.w tidak menganjurkan agar kita meninggalkan dunia sama sekali.

Demikian juga gambaran Nabi s.a.w tentang dunia bagaikan penjara bagi orang yang beriman, kerana dalam kehidupan kita ini ada peraturan dan batasan yang harus dipatuhi. Sebaliknya dunia bagaikan syurga bagi orang yang lalai dengan duniawi, kerana beranggapan dunia adalah tempat yang menyenangkan lagi menyeronokkan dan bebas hidup tanpa sebarang batasan dan larangan.

Apabila disebut zuhud, orang terus membayangkan keadaan yang miskin, susah, compang-camping. Ini adalah satu tanggapan yang salah. Hakikatnya zuhud itu konsepnya ialah manusia itu jiwanya mengawal dan bukannya dikawal oleh wang atau harta. Kerana itu masih ramai yang keliru apabila zuhud itu disebut dalam Islam tetapi pada masa yang sama orang Islam digesa mencari kekayaan dan kekuatan ekonomi.

Tidak salah mempunyai rumah yang besar, kereta yang mahal serta berkualiti serta harta yang melimpah ruah. Itu adalah yang terbaik apabila umat Islam mempunyai kuasa beli yang kuat untuk berbuat sesuatu. Bagaimanakah anda boleh membantu dan bersedekah sekiranya anda sendiri perlu dibantu dari segi ekonomi?

Tahukah anda Rasulullah menggunakan kuda perang yang terbaik dari baka Arab. Kalau kita bandingkan kuda itu dengan kenderaan sekarang ia seperti tahap kereta Ferrari dan Bentley. Malah Rasulullah mengarahkan supaya baka tersebut dikawal supaya ia tidak keluar dari tanah arab. Ia adalah supaya teknologi baka itu dikuasai oleh orang Islam.

Definisi Mencari Kekayaan Dalam Islam Dan Memanfaatkannya

Masalahnya sekarang ia definisi dan persepsi tentang kekayaan. Apabila hari ini anda jelas mengenai zuhud, maka anda faham bahawa mencari kekayaan itu perlu tetapi tunduk kepada kekayaan itu adalah salah. Tunduk kepada kekayaan disini bermaksud, manusia sanggup mengabaikan perintah Allah demi kekayaan. Manusia menjadi ujub dan takbur dengan kekayaan. Disinilah konsep zuhud dalam kekayaan itu telah hilang.

Kerana itulah juga agama dianggap sesuatu yang murah. Menghantar anak mengaji Al-Quran dengan RM40 masih dikatakan orang mahal tetapi kelas tuisyen dengan RM40 satu subjek dikatakan keperluan. Bukankah islam telah menerangkan tentang wasatiah iaitu keseimbangan ilmu dunia dan akhirat untuk kesejahteraan hidup? Jadi mengapa ada 'double standard' di situ?

Adakah Ilmu Agama Itu 2nd Class?

Ilmu agama tidak banyak membantu dalam kerjaya dan kehidupan? Anda silap. Ini adalah kerana anda tidak banyak mengkaji betapa ilmu spiritual begitu banyak membantu organisasi dan kehidupan manusia. Mengapa diseluruh dunia, organisasi menghabiskan berbilion dolar untuk program latihan berbentuk spiritual seperti pembangunan diri, pembangunan kerja kumpulan dan kepimpinan? Tahukah anda itu adalah cabang spiritual yang asalnya diambil dari ilmu keagamaan?

Jika kita merujuk teori Sigmund Freud tentang minda sedar dan separa sedar, ia adalah perkara berkaitan psikologi. Di dalam surah Al-Baqarah, Allah telah berfirman untuk kita mempercayai perkara ghaib. Ghaib disini bermaksud spiritual yakni agama. Begitu juga di dalam Al-Quran ada menyebut tentang peranan hati yang mana rosak atau baiknya hati ini, akan menentukan kejayaan seseorang. Jose Silva, salah seorang yang berpengaruh yang mana teori pembangunan mindanya begitu menekankan aspek spiritual dan diperkayakan oleh syarikat latihan seluruh dunia membangunkan modul. Kerana itu mereka yang terlalu ultra menggunakan konsep logik gagal memperoleh satu keputusan yang terbaik apabila mengabaikan perkara spiritual.

Kefahaman Zuhud Yang Sebenar Serta Hikmah Kepada Ummah

Apakah kaitan spiritual dan zuhud dalam perbincangan kita ini? Ianya sangat berkait rapat. Mengapa ramai yang berzuhud agak kurang membuat harta? Kerana mereka takut tidak dapat mengawal harta sebaliknya harta mengawal mereka. Mereka takutkan kerosakan yang boleh membawa mereka kepada kesesatan.Itulah jua maksud zuhud yang sebenar iaitu mengelak atau meninggalkan sesuatu kerana kehinaannya walaupun mampu untuk memperolehnya.

Kerana itulah, seorang manusia harus membekalkan diri dengan bekalan spiritual yang cukup bagi menemui kejayaan kehidupan. Kita terlalu digula-gulakan tentang kejayaan berdasarkan nombor dan wang ringgit tetapi akhirnya masih ada kegagalan. Kerana itu ramai hartawan dunia dilaporkan mati dibunuh dan membunuh diri. Mereka tidak mampu untuk mengelak dan meninggalkankan dunia tetapi akhirnya mereka meninggalkan jua semua itu dalam keadan yang menyedihkan. Bagaimana seseorang yang tidak membekalkan diri dengan kemampuan mengawal boleh mengawal sesuatu?

Fahamilah konsep zuhud dengan sebenar, maka insyallah kita akan menjadi insan yang amat berguna untuk diri sendiri, orang disekeliling serta masyarakat. Sudah tentulah juga kita mampu menjadi orang yang berguna dan mampu berbakti kepada agama seperti Abu Bakar As-Siddiq serta Abdur Rahman Auf yang mampu menginfaqkan harta mereka.

- iluvislam.com

1 Pendapat:

Peribahasa Melayu ada mengatakan ‘orang tamak selalu rugi’ yang bermaksud, seseorang yang tamak akhirnya akan mengalami kerugian.

zuhud akan mewujudkan sifat pemurah, ikhlas, syukur dan tawaduk dalam hati.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Story terbaru blog kami...
diy wheel bearing kereta